Thursday, December 3, 2020

Czer Kali Ke-3 & BTL: Day 36~

Assalamualaikum & Salam Salam Sejahtera

Hari dah hari ke-36 lepas bersalin. Luka czer nampak semakin elok. Cumanya tiga hari lepas perasan ada benang terkeluar sikit dari luka czer bahagian tepi tu. Seriau tengok, mula-mula ingatkan ubat antibiotik yang jadi keras sebab tak cuci bersih. Sekali bila cuba tarik terkeluar terus benang tapi pendek je. 

Benang dia macam orang mancing punya tali tu. Tebal & agak keras sikit. Tapi sakit tu macam tak ada rasa. Masa mula-mula nampak benang tu, terus pergi kat page Caeserian Mum kat Facebook. Search benang terkeluar, ramai jugak yang alami benda ni. Kebanyakan komen benda tu tak bahaya. 

Harini baby ada check up & injection sebulan, nak cuba double confirm dengan nurse KK. Harap memang betul tak ada apa-apa yang serius. Amin...

Sehari dua dah start cuba mandikan baby sendiri, tapi tanpa sabun. Tak confident lagi nak mandikan baby lama-lama. Lagipun abang & kakak dia dulu ada ruam kat pipi teruk. Kakak dia dulu lepas start mandikan guna sabun naik ruam pipi tu. Yang baby kali ni kita relaks-relaks je la. 

Ada je sabun sebamed untuk baby, haritu husband pernah cuba sekali tapi macam start nak naik bintik kat muka dia, jadi stop dulu la. Mandi pakai air suam aje & lepas tu sapu minyak Johnson. Alhamdulillah setakat ni tak ada lagi ruam. Harap baby kali ni tak ada ruam macam kakak & abang dia la. Kesian kalau kena, ruam merah & berair tu, pedih nampak.

Blog ni sejak ada baby no 3 ni baru kerap sikit update. Maklumlah duduk rumah saja, sempatlah. Dah start kerja nanti susah sikit sebab ni pun update guna laptop ofis..huhu. Akhir bulan ni dah kena naik kerja, tapi mungkin akan extend sampai akhir tahun sebab pengasuh Januari baru available. 

Harap virus Covid ni cepatlah hilang. Tahun depan Adam Zahin nak naik darjah satu dah. Camne lah SOP nanti. Tahun ni pun prasekolah berapa bulan je pergi sekolah. Membaca pun tak berapa lancar sangat. Risau jugak ..


Saturday, November 28, 2020

Czer Kali ke-3 & BTL : Day 31~

 Assalamualaikum & Salam Sejahtera~


Pejam celik, pejam celik dah masuk 31 hari dah berpantang. Berpantang yang tak berpantang sangat. Maklumlah musim PKPB di Selangor ni. Sekarang banyak sangat kes kat Selangor. Dah 31 hari pun saya masih belum berurut. Ingat nak tunggu kes kurang sikit, tapi macam makin naik je setiap hari.

Bersalin kali ni memang agak mencabar. Kali pertama duduk tanpa family di wad & tak ada pelawat. Tiga hari duduk kat wad dulu termenung saja kerja. Lagi pulak baby masa tu kena tahan NICU & dalam keadaan kritikal. Memang boleh meroyan rasa. Video call je boleh dengan husband & anak-anak masa tu. Lagi sedih rasa masa VC tu. Lagi rela balik, at least tak termenung saja. 

Last week luka czer keluar air. Nampak macam air nanah yang cair, tapi doktor cakap bukan nanah.First time jadi macam ni walaupun dah tiga kali czer. Seminggu sebelum keluar air,tempat luka naik bengkak. Sentuh sikit pun rasa sakit sangat. Nak jalan pun seksa rasa. Sebab tak tahan sangat lepas 3-4 hari tu pergilah Klinik Siti. Doktor kata macam infection, dapat ubat antibiotik & tahan sakit. Kalau keluar nanah dia suruh terus pergi hospital.

Lepas tiga hari tu, terkejut tengok air keluar dari bengkak tu. Banyak pulak tu mula-mula keluar. Lepas tu dia keluar sikit-sikit tapi sentiasa mengalir. Esoknya ingat nak pergi KK je dulu, tapi husband bawak terus ke hospital. Pergi Emergency, dia suruh pergi ke bangunan O&N pulak untuk diperiksa kat sana.

First time dengar 'Wound Breakdown'. Debar masa nak tunggu doktor datang check. Alhamdulillah, masa doktor check dia kata bukan wound breakdown ni. Luka czer elok. Mungkin infection kat kulit bahagian luar saja. Ada lubang kecik kat tepi luka tu jugak, saya tak perasan yang tu sebelum ni. Jadinya doktor tekan-tekan & bersihkan luka yang keluar air tu. Pastu dapat krim antibiotik kena sapu seminggu.

Harini dah hari ke 3 lepas pergi hospital, luka nampak dah semakin baik. Alhamdulillah. Syukur sangat, tak sanggup kalau kena warded balik . Trauma pulak rasa. Ada hikmahnya dah kena ikat. Memang rasa tak sanggup nak alami perasaan berdebar nak kena masuk operation lagi. 

Doktor bagitau biasanya kalau infection luka czer dia akan nampak awal, bukan lepas 20 hari. Tu dah lama katanya. 

Baby dah 31 hari tapi atok nenek dua-dua belah tak boleh datang tengok lagi. Risau nak suruh diorang datang sebab virus ni. Kat mukim saya duduk ni pun ada kes lagi setiap hari. Macam mana la nak start berurut ni...

Walaupun pantang sendiri je, syukur husband banyak membantu. Haritu 2 minggu cuti bawak pergi NICU setiap hari. Sampai sekarang masih dia yang mandikan baby & masak makanan pantang saya. Cuma kadang-kadang stress dengan abang & kakak baby ni je. 

Jadi, 3 orang nilah anak yang akan saya & husband fokus & cuba didik dengan baik, InsyaAllah. Dia pernah cakap nanti mesti kita akan rindu baby bila baby ni dah besar. Rasa sikit 3 ni..huhu. Takpelah, anak sedara ramai nanti coming soon..haha. Jangan stress-stress.

Friday, November 20, 2020

Baby PKPB 2020: Discaj pada Day 14.

 

Assalamualaikum & Salam Sejahtera ~


Alhamdulillah masa hari ke 14 baby dah boleh discaj. Harini dah seminggu kat rumah, kejap lagi kena pergi hopsital untul follow up general condition dia. Parut tebuk dada memang kekal, tapi tak besar. Doktor cakap satu jahitan je. Tapi baby ni dua kali kena tebuk, kira ada 2 jahitan la maksudnya. Kesian  baby.

Tempat jahitan nampak kering tak berair, harap makin sembuh la luka dia. Ibu dia yang luka czer lain macam sakit dia kali ketiga ni. Pedih je rasa memanjang walaupun dah hari ke 24 harini. Dulu tak ingat pulak ada rasa macam ni. Serius pedih nak bangun dari baring atau bangun dari duduk seksa rasa. Mungkin sebab dah tiga kali czer agaknya. Harap cepat-cepatlah luka ni sembuh.

Masa hari ke-14 tu doktor tak cakap pun boleh discaj masa call pagi tu. Dia suruh datang susukan baby je, dia nak tengok katanya. Jadi kitorang memang tak berharap baby boleh discaj & tak bawa kelengkapan baby. Ada baju dia je saya tinggalkan dari masa mula-mula dia kena tahan. Bedung & sarung tangan semua tak ada. 

Jumpa doktor pukul 11pagi, dia kata boleh susukan baby masa tu & pukul 3 susukan lagi. Husband kerja petang tu memang saya cakap petang ni saya tak boleh datang lagi. Last-last doktor cakap bole discaj hari tu. Wassap kat husband slip untuk pembayaran semua & dia pergi beli kain bedung kat kedai hospital..huhu.

Rabu discaj, Jumaat tu kena datang balik untuk buka dressing dia. Harini lepas seminggu doktor just nak follow up luka & general condition baby. Kalau boleh malas nak bawak baby keluar, virus berleluasa sekarang ni. Tapi, nak buat macam mana. Moga kita semua dilindungi-Nya. 

Berpantang sendiri time musim covid ni, urut pun tak buat lagi. Minggu lepas ada kes positif di taman perumahan ni. Seriau jugak rasa, sebab blok sama. Lif pun berkongsi. Nak panggil orang luar datang berurut memang kena fikir banyak kali la..

Tengoklah lepas 14 hari, kalau tak ada kes baru area taman ni, kita tengok balik macam mana. Selangor banyak sangat kes sekarang ni. Risau..


Saturday, November 7, 2020

Baby PKPB Oktober 2020: Day 10

 

Assalamualaikum & Selamat sejahtera~


Harini dah hari ke -10 Baby AZ ditahan di NICU. Perkembangan nampak semakin positif. Banyak tiub dah dibuka, antaranya dua tiub di tali pusatnya & ubat untuk support jantung pun dah beberapa hari dah dibuka.

Sekarang baby masih kena on antibiotic & monitor udara dalam paru-paru dia. Semalam tiub yang tebuk paru-paru dah ditanggalkan, masih ada sedikit udara tapi tak menganggu pernafasan baby, jadi doktor akan monitor saja dulu.

Morphine sebagai sedation pun dah dikurangkan dos petang semalam. Doktor mungkin akan buka malam tadi. Sekarang tinggal tiub pernafasan di mulut dia & tiub susu kat mulut baby. Semalam minum susu gun tiub dia boleh minum sikit saja. Banyak yang dimuntahlan balik. Tapi nampak baby kenyang sebab dia terus lena lepas nurse bagi susu.

Harapnya harini tiub pernafasan kat mulut dah boleh dibuka & malam ni dia semakin ok. Tak sabar nak bawak balik baby. Hari-hari kena ulang -alik NICU dengan luka caeser ni memang bukan senanglah. Nasib baik Hospital Putrajaya tak besar mana. Jadi jalan pun takdelah berapa nak jauh sangat kalau compare dengan hospital sebelum ni saya pernah pergi.

Doakan baby AZ saya cepat-cepat sihat & kuat ye. Kalau kenangkan balik kali pertama saya tengok dia, memang sedih sangat sebab berselirat wayar kat badan dia. Sekarang dah semakin kurang memang rasa lega sangat. Suara dia masih tak dapat dengar lagi sebab tiub pernafasan masih ada. Baby nampak lasak walaupun on morphine dia still asyik bergerak lasak. Memang dari dalam perut dia aktif, harap baby AZ sihat sepenuhnya tanpa komplikasi lain. Aminnn...


Monday, November 2, 2020

Pengalaman Bersalin ke-3 Secara Caeser & BTL Musim PKPB di Selangor~

 

Assalamulaikum & Selamat Sejahtera ~


Harini genap hari ke-5 selepas pembedahan secara caeser untuk anak yang ketiga dan yang terakhir. Macam seram je bila fikir kita dah tak ada peluang untuk mengandung lagi lepas ni, tapi kena fikir balik secara positif. InsyaAllah semua ni ada hikmahnya.

Apa tu BTL?

BTL tu saya tak ingat terms hospitalnya, tapi senang cerita, BTL tu kira proses pemandulan dengan cara mengikat tiub peranakan kita. Jadinya tak akan ada persenyawaan sebab ovum takkan boleh terlepas ke dalam rahim kita.

Kenapa caeser & BTL?

Sebabnya ini adalah kandungan ke-3 saya & dua kelahiran sebelum ni pun dah emergency caeser. Jadi kali ke-3 dah tak ada peluang untuk mencuba kelahiran normal atau VBAC lagi. BTL sebab doktor sarankan ikat terus sebab kemungkinan untuk dapat komplikasi pada kelahiran seterusnya adalah tinggi. Selepas berbincang dengan husband, kami pun setuju ini adalah yang terbaik.

Bersalin masa PKPB di Selangor.

Agak mencabar. Kami memilih Hospital Putrajaya sebab dekat dengan rumah. Sebelum ni pergi ke Serdang tapi agak jauh perjalanan berulang-alik & kawasan pun besar, agak jauh nak kena berjalan. Hospital Putrajaya kawasan lebih kecil, jadi nak jalan tak perlu jauh sangat. Orang pun tak berapa ramai mungkin disebabkan PKPB jugak.

Untuk pengetahuan semua, Hospital Putrajaya hanya ada wad FPP dan First Class sahaja. Oleh itu kalau bercadang bersalin di sini, pastikan rancang kewangan anda sewajarnya. Minggu lepas saya warded di dalam four bedded ward. Bagi saya wadnya sama seperti second class di Hospital Serdang, ada 4 katil di dalam satu bilik & bilik selesa ada aircond dan toilet di dalam wad tersebut.


Saya planned caeser pada 28 Oktober 2020, jadi warded pada 27 Oktober 2020 iaitu pada hari Selasa. Sehari sebelum warded, saya perlu menjalani swab test untuk COVID-19 di sana. Hari Selasa petang baru saya warded disebabkan wad penuh. Malam bermula jam 12, saya telah disuruh berpuasa untuk persediaan pembedahan keesokan harinya.

Keesokan harinya drip air dimasukkan & saya diberitahu bahawa saya adalah orang yang kelima dalam list hari itu. Orang pertama ditolak seawal 7.30 pagi, jadinya saya dianggarkan dalam pukul 2 petang baru akan masuk ke bilik pembedahan. Dalam menunggu tu, nurse menyuruh pakai terus baju operation di dalam baju wad pink tu. 

Lepas solat Zuhur, nurse datang suruh bersedia ke bilik pembedahan. Tiub kencing dimasukkan, baju pink kena buka & cap pembedahan dipasangkan. Saya terus ditolak ke tingkat satu untuk ke bilik pembedahan. Walaupun ini adalah kali ke-3, kali ni adalah yang paling mendebarkan untuk saya sebab memang saya dah tahu saya akan dibelah perut kali ni.

Selepas dipindahkan ke katil lain, doktor bius datang interview saya sebelum menolak saya masuk ke bilik pembedahan. Dia menerangkan prosedur sementara menunggu doktor pembedahan tiba. Tak lama lepas tu, saya dicucuk ubat bius di tulang belakang, drip air dimasukkan ke tangan. Tirai antara perut dengan muka saya dinaikkan supaya saya tak nampak sepanjang proses pembedahan itu.

Bius separuh badan, kita masih merasa pergarakan tangan orang di badan kita. Cuma 'sensory', iaitu rasa panas, sejuk, tajam, sakit tu sahaja yang hilang. Jadi jangan panik bila kita rasa orang melapah perut kita, sebab kita memang boleh rasa, cuma rasa sakit tu tak ada. Nasib baik saya dapat doktor bius yang baik & sabar menerangkan semua tu sebab sejujurnya saya memang sangat takut sebab sebelum ni memang saya rasa, tapi saya tak tahu, jadi saya agak banyak meronta masa pembedahan kali ke-2 sebelum ni.

Tak lama lepas tu doktor penbedahan pulak menjalankan tugasnya. Agak susah untuk bedah disebabkan lekatan daripada pembedahan sebelum ni agak teruk. Agak banyak jugak doktor bedah tu merungut, tapi apa je saya boleh buat. Dengarkan saja lah..huhu~

Agak lama sikit masa diambil sebab lekatan teruk tu. Doktor beritahu dia mungkin ada tercederakan pundi kencing disebabkan lekatan tu. Masa tu telan air liur je la. Dahlah tak nampak apa dia buat, redha saja lah. Saya selalu tanya doktor bius lama lagi ke, nanti dia akan jawab lagi sikit, otot tengah jahit. Tak leh nak bayang otot kita tengah kena jahit. 

Saya ada beritahu agak susah nak bernafas, doktor bius tu bagi mask oksigen untuk bantu saya bernafas. Saya memang cuba berlagak tenang aja untuk pembedahan ni. Tak lama lepas tu dengarlah suara baby menangis dengan sangat nyaring & lama tak berhenti. 

Lepas cuci, jantina bayi ditunjukkan pada saya & pipi bayi dilagakan ke muka saya sambil doktor menjahit semula perut saya.

Tak sangka itu kali terakhir saya dengar suara bayi saya. Petang tu dia dikejarkan ke pakar kanak-kanak disebabkan nampak sukar untuk bernafas. Menyusukan pun tak sempat. Tiba-tiba lewat petang doktor pakar kanak-kanak datang & suruh husband datang berjumpa dengan dia malam tu..

Harini dah hari ke-5, baby masih ditidurkan dengan morphine untuk merawat dia. Banyak mesin diperlukan untuk support dia untuk survive sekarang ni. Tolong doakan baby cepat sihat & kuat dan boleh keluar NICU secepat mungkin. Petang ni kami akan pergi jenguk lagi baby di NICU. Berharap untuk perkembangan positif setiap kali kami lawat dia. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
"TERIMA KASIH DARI YANA & LEONERZ" COPYRIGHT @ LEONERZ TEMPLATE DESIGN BY ARINA